Cubalah engkau lihat pada reruntuhan rumah yang telah ditinggalkan oleh penghuninya,
betapa ia kelihatan gersang dan sudah tidak dipedulikan lagi.
Semua sudah binasa dan yang tinggal hanya puing - puingnya sahaja lagi,
batu batanya jatuh berselerak dan berhamburan.
Para penghuninya telah lama pergi untuk menemui balasan,
berita tentang mereka sudah lama tidak terdengar,
bahkan orang sudah tidak pedulikan lagi dengan cerita mereka.
Bila ku lihat dan ku fikirkan keadaan ini,
mesti air mataku mengalir membasahi pipiku.
Seandainya aku benar - benar memiliki akal yang sempurna,
sudah tentu aku akan terus menangis.
Cukuplah keadaan itu memberi nasihat kepadaku,
dan cukuplah mataku mengambil iktibar daripada apa yang sedang dilihatnya.
Sebenarnya dunia ini
telah memerangkap kita dengan perhiasannya.
Ia memiliki kecekapan yang luar biasa dalam menipu
dan memutarbelitkan kenyataan.
Bila ia pernah memberikan sedikit kemanisan kepada penggemarnya,
pasti selepas itu ia akan memerangkapnya dengan kepahitan.
Itulah dunia yang sangat pandai menipu
dengan keindahannya.
Apabila ia datang dengan kegembiraan,
maka pasti kegembiraan itu akan dibayar dengan kesusahan.
Dunia memang pandai memberi,
namun ia pasti akan menarik semula pemberiannya itu.
Dan bila ia membangunkan sesuatu tempat,
maka sudah pasti pada suatu masa yang akan datang
tempat itu akan dihancurkan semula.
Apabila dunia membangunkan suatu perkara bagi seseorang,
maka pada masa yang sama,
sebenarnya ia telah memasangkan satu perangkap
yang akan menghancurkannya pada suatu masa yang akan datang.
No comments:
Post a Comment