Saturday, March 3, 2012

masihkah engkau mencintaiku


Syukur Alhamdulillah, aku disahkan mengandung. Tetapi alahanku menyebabkan aku tidak mampu mencium baumu sayang. Mendekatimu sahaja sudah cukup mengundang loya. Entahlah berapa lama, mungkin sebulan dua, mungkin empat bulan atau lima. Ada kemungkinan bukan sahaja untuk kandungan kali pertama, malah yang depan-depan juga.
Sabarkah engkau dengan kerenahku? Masihkah aku ini cintamu di kala itu?
Semasa mengandung, aku tidak lalu makan, mulutku asyik mengeluh sakit sini dan sakit sana. Tidur sering tidak lena, aku yang ceria berubah menjadi pemarah dan sering berduka. Bukan aku sengaja tetapi segala yang ku rasa di setiap inci tubuhku, menimbulkan resah dan tidak selesa.
Sabarkah engkau dengan kelemahanku ini?

Semasa mengandung, upayaku untuk melayan keperluan batinmu tidak seperti biasa. Aku lemah, sering juga hambar tiada penariknya. Sehebat-hebat mujahadahku, diri ini amat terbatas dalam upaya berperanan sebagai isterimu.
Masihkah aku buah hatimu?
Semasa kita mula berumahtangga, pasti hidup kita indah bagai di Syurga. Tambah pula dengan kurniaan cahaya mata pertama. Namun ketika cahaya mata bertambah ramai, kerjaya kita semakin berkembang. Pendapatan bertambah, tanggungan dan beban juga bertambah.
Dalam suasana yang banyak tekanan di rumahtangga kita, apakah engkau masih mampu ceria? Sabar dengan karenah anak-anak dan ibu mereka, terus tersenyum menawarkan bahagia?

Selepas beberapa tahun berumahtangga, aku belum merahimkan cahaya mata impian kita, saudara mara dan teman memperlimu dan menuduh engkau bukan seorang jantan. Sedangkan aku punca sepimu tanpa zuriat.
Di kala engkau diasak keluarga dan teman, masihkah aku ada tempat di lubuk cintamu?

Andai selepas beberapa tahun berumahtangga, aku diputuskan pemeriksaan perubatan bahawa diri ini mandul dan tidak mampu merahimkan cahaya mata impian kita,
Apakah aku masih kekasih hatimu?
Jika aku ditakdirkan Allah diuji dengan barah payu dara, terpaksa mengorbankan salah satu atau keduanya, kimoterapi meluruhkan rambutku yang pernah menjadi pujianmu, tubuh lemahku menumpang kasih dalam pelukanmu, berak kencingku di dalam kain batik yang pernah kau hadiahkan kepadaku.
Masihkah engkau mencintaiku?

No comments:

Post a Comment

Popular Posts